Terjun: Persefahaman jadi rahsia emas Nur Dhabitah, Wendy

Oleh Staff Writer 7 Disember 2019 287
Terjun: Persefahaman jadi rahsia emas Nur Dhabitah, Wendy
Pasangan 3 meter papan anjal seirama wanita, Wendy Ng Yan Yee dan Nur Dhabitah Sabri, menyempurnakan sasaran pingat emas keempat yang disandarkan kepada skuad terjun negara dalam Sukan SEA Filipina hari ini.

Gandingan kebangsaan itu mempamerkan prestasi cemerlang dengan mengumpul 270.60 mata sebelum mengungguli emas sambil perak menjadi milik wakil Singapura, Fong Kay Yian dan Ashley Tan Yi Xuan, yang mencatat 228.06 mata, diikuti Surincha Booranapol dan Ramanya Yanmongkon (208.14 mata) dari Thailand.

"Kami dah lama beraksi bersama, jadi telah memiliki persefahaman dan kekurangan masing-masing. Jadi, kami perbaiki segala kelemahan. Dalam setiap kejohanan, ia sangat istimewa," kata Nur Dhabitah.

Sementara itu, Ooi Tze Liang yang menyumbang emas dalam acara 3m papan anjal indvidu lelaki menganggap kejayaan dalam edisi kali ini sebagai tonik terbaik bagi memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, April depan. 

Rakan senegaranya, Muhammad Syafiq Puteh, terpaksa menelan hakikat pulang dengan perak setelah mengutip 402.50 mata. 

"Saya rasa saingan kali ini dihadapi dengan satu misi, untuk mencapai sasaran ke pentas antarabangsa, Sukan Olimpik. Itu sasaran utama," kata Tze Liang.

"Bagi saya, syukur. Saya sudah lakukan peningkatan berbanding saingan Grand Prix di Kuala Lumpur baru-baru ini," tambah Syafiq.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen