Skuad tenis negara gagal meraih sebarang pingat dalam Sukan SEA Ke-30 apabila harapan terakhir menerusi gandingan Syed Agil Syed Naguib dan Shamirul Shahril Mohd Adam Das bagi acara beregu lelaki tewas dalam suku akhir hari ini.

Skuad negara menyasarkan dua gangsa dalam temasya dwitahunan itu, sekali gus berniat untuk memperbaiki pencapaian dua tahun lalu ketika meraih satu gangsa di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, jelas saingan dalam Sukan SEA kali ini lebih sengit apabila negara Asia Tenggara yang lain menyenaraikan beberapa pemain yang mempunyai ranking dunia.

Syed Agil dan Shamirul menjadi harapan terakhir Malaysia kerana mencapai suku akhir dalam acara beregu lelaki, namun kemaraan mereka dihentikan pemain tenis tuan rumah, Filipina, Ruben Gonzales dan Treat Conrad Huey, 6-3, 6-3.

"Saya belajar banyak pengalaman dalam Sukan SEA kali ini. Lawan kami memiliki pengalaman. Walaupun tewas, ia merupakan perlawanan yang agak sengit," kata Syed Agil.

Ketua jurulatih negara, Suresh Menon, jelas kecewa tidak mampu mencapai pingat yang disasarkan, namun berpuas hati dengan prestasi pemain yang dipamerkan sepanjang kempenkali ini.

"Terdapat perkara positif yang diraih dalam saingan kali ini. Mutu permainan barisan pemain Asia Tenggara semakin meningkat dan kami perlu bersedia lebih awal dan lebih rapi lagi," kata Suresh.