Pemain tenis negara, Shamirul Shahril Mohd Adam Das, menitiskan air mata kekecewaan ekoran terlepas peluang merebut tiket ke separuh akhir Sukan SEA Filipina apabila tewas di tangan pemain tuan rumah hari ini.

Pemain kidal berusia 19 tahun itu menjadi sinar harapan skuad tenis negara untuk meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam acara perseorangan apabila mengalahkan pilihan kedua kejohanan dari Thailand dalam pusingan kedua.

Bagaimanapun, dia tidak berjaya meneruskan keajaibannya dalam aksi suku akhir apabila tewas kepada Jeson Petrombon 6-1, 6-1.

"Saya terlepas peluang untuk setidak-tidaknya meraih pingat gangsa.

"Saya bersemangat untuk megharungi Sukan SEA seterusnya memandangkan saya sedang menjelmakan permainan yang baik sejak dua minggu lalu.

"Jurulatih banyak memberi dorongan besar kepada saya, saya harap kontrak mereka diperbaharui," katanya.

Ketua jurulatih skuad tenis negara, Suresh Menon, jelas kecewa dengan aksi yang dipamerkan anak buahnya itu, namun yakin Shamirul akan menjadi antara pemain yang ditakuti dalam edisi seterusnya.

"Sudah tentu ia amat mengecewakan saya kerana saya berasakan ia peluang yang begitu positif buat kami meraih pingat.

"Apabila dia menundukkan pilihan kedua temasya, ia menyalakan harapan besar kepada kami.

"Jika diberikan tempoh setahun lagi, dia boleh menjadi pemain yang lebih berbisa," kata jurulatih itu.

Skuad tenis negara masih dalam misi untuk mencari pingat pertama dalam Sukan SEA dan kini harapan disandarkan kepada acara beregu lelaki menerusi gandingan Syed Agil Syed Naguib-Shamirul selain gandingan beregu wanita, Jawairiah Noordin-Suhana Mohd Sofia Adam Das.