Pemain tenis wanita negara, Jawairiah Noordin, berharap Persatuan Lawn Tennis Malaysia (LTAM) akan mempertimbangkan permintaannya sesudah mencapai pentas final Kejohanan ITF Wanita di Mesir, minggu lalu.

Selepas dua tahun tidak beraksi dalam kancah sirkit profesional, Jawairiah melakar kejutan apabila mara ke final di Soho Square itu menjelang persiapan ke Sukan SEA Filipina bulan depan.

Jawairiah berharap pencapaian tersebut akan dipertimbangkan badan induk itu mengenai permintaan elaun bulanannya.

"Saya dah minta apa yang saya nak pada bulan ini tetapi LTAM kata mahu bincang dahulu.

"Saya harap mereka akan beri," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Kehormat LTAM, Kamaruzzaman Kedah, tampil memberikan penjelasan bahawa keadaan itu berlaku disebabkan kekangan bajet yang sedang dilalui mereka.

Skuad tenis negara, bakal berlepas ke Kejohanan Jemputan Kunming, China, dari 14 hingga 18 Oktober ini.