Pengalaman merangkul gelaran juara dalam Liga Cabaran Ninja tahun lalu menjadi simbolik atlet sukan tempuh halangan, Mohd Redho Rozlan, sebagai taruhan mendapatkan pingat emas menjelang penampilan keduanya di pentas Sukan SEA bulan depan.

Atlet berusia 31 tahun itu, yang lebih dikenali sebagai Mat Redo, pernah menewaskan juara Ninja Warrior Amerika Syarikat, Jake Murray, sekali gus melonjakkan keyakinannya dalam meraih emas pertama selepas berjaya meraih perak dalam acara sports climbing ketika Sukan SEA 2011 di Palembang.

Situasi sebenar menyaksikan dia tidak berada di bawah mana-mana kendalian jurulatih, malah hanya berguru di laman sesawang 'Youtube'.

"Setakat ini, memang saya jaga pembinaan badan, cuma bahagian bawah badan saya perlu rujuk golongan lebih tahu. Namun, sekarang jurulatih saya adalah Youtube," katanya.

Tujuh atlet bakal dihantar mewakili negara dengan sasaran tiga emas dan Liga Cabaran Ninja di Perth, Australia, bulan depan bakal menjadi persiapan terakhir Mat Redo untuk ke Filipina.

"Sekarang saya terus berlatih untuk Sukan SEA. Kalau diikutkan, setiap minggu ada kejohanan. Di Kuala Lumpur, Langkawi dan banyak lagi. Ia juga menjadi sebahagian daripada latihan."