Atlet taekwondo negara, Ahmad Noor Iman Hakim Rakib, tidak mahu mensia-siakan peluang untuk memperkemaskan aksinya sempena menghadapi Sukan SEA Filipina bulan depan selepas terpilih untuk menjalani latihan di Korea Selatan seperti yang disarankan oleh jurulatih berpengalaman, Jin Cheon-soo.

Noor Iman akan ditemani seorang lagi atlet negara yang menjadi sandaran pingat dalam Sukan SEA, Muhammad Syafiq Zuber, dan mereka akan berlepas Korea Selatan minggu depan bagi menjalani latihan intensif selama enam minggu sebelum menyertai Kejohanan Terbuka China, 7-9 November depan.

Lebih menggembirakan anak bekas peninju negara itu apabila skuad kebangsaan mula mendapat sentuhan jurulatih terbaik remaja Korea Selatan, Cheon-soo, bermula Isnin lalu.

Baginya, kehadiran jurulatih berusia 44 tahun itu bakal membantunya meningkatkan kemahiran, terutama dalam misi meraih pingat menerusi penampilan sulungnya dalam temasya edisi ke-30 itu.

"Jurulatih lama lebih menekankan aspek kecergasan sementara Cheon-soo lebih banyak menerapkan tentang kemahiran.

"Dia membekalkan kami dengan kemahiran terkini untuk menghadapi lawan," katanya di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Dalam Kejohanan Pra-Sukan SEA, Mac lalu, atlet muda berusia 19 tahun berkenaan meraih pingat emas selain gangsa dalam Kejohanan Sukan Universiti Dunia, Itali, Julai lalu.

"Di Korea Selatan, kami akan berlatih dengan pelbagai pasukan di beberapa tempat.

"Sekembalinya ke Malaysia, kami akan menyertai Terbuka China di Xi'an," tambahnya.