Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, akhirnya bersuara mengenai atlet-atlet negara luar yang menghadapi masalah dalam Sukan SEA 2019 yang sedang dianjurkan oleh negara itu.

Jurucakap Duterte, Salvador Panelo, mengeluarkan kenyataan mengenai kebimbangan meliputi perancangan serta penganjuran Sukan SEA 2019 serta beberapa masalah yang dihadapi oleh atlet.

“Semestinya, tuan presiden tidak suka dengan apa yang telah berlaku,” kata Panelo kepada CNN.

“Semua kegagalan itu tidak seharusnya berlaku; ia sepatutnya dapat diperbetulkan dengan mudah, ia adalah sebab beliau marah."

Antara negara yang membangkitkan kebimbangan mengenai perancangan serta penganjuran yang lemah terhadap temasya dwitahunan itu adalah Timor Leste, Thailand, Kemboja dan Vietnam, sekadar menamakan beberapa negara.

Panelo turut berkata lagi pihak penganjur tidak seharusnya sambil lewa dan banyak isu yang dihadapi atlet-atlet adalah berpunca daripada pihak penganjur yang tidak menjalankan tugas dengan baik.

Kebanyakan isu yang timbul setakat ini adalah berkaitan logistik, dengan kelewatan mengambil atlet di lapangan terbang di samping hotel-hotel yang gagal disiapkan mengikut masa sepatutnya hingga melengahkan latihan buat pasukan-pasukan ASEAN serta suasana penginapan yang tidak cukup bagus buat atlet.