Skuad skuasy negara mempamerkan kualiti dalam kelas tersendiri apabila empat wakil negara dalam saingan perseorangan melangkah ke separuh akhir Sukan SEA Ke-30 hari ini.

Acara skuasy di Kelab Polo Manila itu menyaksikan barisan wakil lelaki dan wanita negara turun beraksi di peringkat suku akhir.

Menerusi saingan wanita, Rachel Arnold merakamkan kemenangan ke atas wakil Thailand, Anantana Prasertratanakul 3-0 (11-6, 11-5, 11-1).

Kejayaannya mengatasi wakil Thailand itu membenarkan dia melangkah ke separuh akhir dan diikuti oleh seorang lagi wakil negara, Chew Yiwen, yang meraih kemenangan 3-0 ke atas Yuliana Catur dari Indonesia.

Bagi saingan perseorangan lelaki, dua wakil negara, Muhammad Addeen Bahtiar dan Darren Rahul Pragasam, mengatasi lawan masing-masing, Satria Bagus Laksana (Indonesia) dan Phuwis Poonsiri (Thailand), 3-0 untuk melangkah ke separuh akhir.

"Berdasarkan prestasi dan latihan yang telah diharungi sebelum ini, saya yakin untuk meraih pingat emas dalam Sukan SEA kali ini. Saya menyedari kemampuan lawan saya namun enggan mengambil mudah dan memastikan aksi cemerlang untuk menghadirkan emas kepada kontinjen negara," kata Addeen.

Saingan separuh akhir akan bersambung esok.