Skuad lebuh raya buru keserasian

Oleh Staff Writer 23 Oktober 2019 29
Skuad lebuh raya buru keserasian
Ketua jurulatih skuad berbasikal lebuh raya negara, Mohammad Yusof Abdul Nasir, berkata pasukannya sedang mencari keserasian menjelang Sukan SEA Filipina bulan depan dengan menghantar skuad utama ke Kejohanan Berbasikal Dalam Bandar Asia di Jakarta, Indonesia bermula Sabtu ini.

Jelasnya, kesibukan pelumba negara terhadap komitmen bersama majikan masing-masing menjadi penghalang untuk mereka dikumpulkan dan kejohanan itu akan menjadi pentas pertama mereka bergandingan sebagai satu pasukan.

"Saya mahu mencari keserasian, jadi kami mahu mengumpulkan pelumba dari TSG (Terengganu Cycling Team), TSC (Team Sapura Cycling) dan pelumba pasukan kebangsaan.

"Walaupun mereka pernah bersama sebelum ini, dalam masa sama, mereka mempunyai banyak komitmen bersama majikan masing-masing.

"Jadi, kami hanya mahu cari keserasian supaya tidak kekok untuk berkomunikasi di dalam perlumbaan," katanya.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menyenaraikan pelumba pasukan kebangsaan, Sofian Nabil Omar Mohammad Bakri, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki (TSG), Mohd Shahrul Mat Amin (TSG), Muhammad Zawawi Azman (TSC) dan Akmal Hakim Zakaria (TSC) untuk mengibarkan cabaran negara dalam acara lebuh raya menjelang temasya dwitahunan itu.

Muhammad Fauzan Ahmad Lufti, Nik Mohd Azwan Zulkifle dan gandingan adik-beradik, Muhammad Ameen dan Muhammad Ameer Ahmad Kamal, pula disenaraikan dalam acara ujian masa.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen