Pengurus skuad kurash negara, Susan Cheah Pik Yee, terkejut dengan tindakan penganjur Sukan SEA 2019, Filipina, yang mengubah tarikh acara itu kepada esok walaupun atlet negara masih belum tiba di negara itu.

Acara kurash sepatutnya bermula lusa tetapi pihak penganjur meminda tarikh pembukaan acara itu kepada esok selepas mengadakan mesyuarat pengurus pasukan.

Malangnya, atlet negara masih belum tiba dan dikhuatiri tidak cukup rehat untuk memulakan aksi.

"Ia merupakan perjuangan yang sukar sejak hari pertama buat kami.

"Ia membabitkan permohonan kami kepada MOM (Majlis Olimpik Malaysia) dan selepas mengemukakan empat rayuan, kami akhirnya diberikan peluang.

"Mereka juga hanya membenarkan kami untuk membawa dua atlet (ke Filipina).

"Tetapi apabila tiba di sini, saya mendapati hanya enam pasukan, termasuk Malaysia, yang akan bertanding.

"Jadi, saya fikir peluang kami untuk meraih pingat adalah tinggi," katanya.