Pesilat negara, Faizul Nasir, mengesahkan keadaannya semakin stabil apabila sudah boleh bergerak, namun perlu ditahan selama 72 jam sejak dimasukkan ke hospital semalam bagi pengawasan rapi.

Faizul tidak sedarkan diri ketika tewas kepada peserta tuan rumah, Dines Dumaan, di peringkat suku akhir tanding kelas B putra, semalam.

Pemenang pingat emas edisi 2015 dan 2017 itu terbaring lebih tiga minit tanpa mendapat bantuan perubatan ketika wasit sedang mengira mata sebelum mengumumkan kemenangan 5-0 untuk lawan.

Pada awalnya, atlet berumur 31 tahun itu dikejarkan ke Hospital Bayponte Subic sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Clark City.

"Nak berdiri pun tak boleh.

"Saya disyaki mengalami kecederaan di tulang tengkuk, C4 atau C5.

"Bimbang ada pendarahan dalaman kerana hasil ujian x-ray, tiada tulang yang patah, cuma bengkak.

"Doktor beritahu selepas saya ditendang, berlakunya gegaran," katanya hari ini.