Pesilat negara, Muhammad Faizul Mohd Nasir, dikejarkan ke Pusat Perubatan dan Hospital Baypointe selepas tidak sedarkan diri ketika bertarung dalam kategori 55kg kelas Putera B, Sukan SEA hari ini.

Dia mengalami kecederaan ketika menentang atlet Filipina, Dines Dumaan, di Pusat Konvensyen dan Pameran Teluk Subic.

Justeru, pemenang dua emas berturut-turut temasya yang lalu itu terlepas untuk mempertahankan gelarannya apabila lawannya itu diberikan kemenangan.

Dalam perkembangan terkini, dia sudah sedar tetapi dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.

"Saya telah melihat keadaan Faizul, dia sudah sedar tetapi tidak dapat memberikan tindak balas," kata pengurus skuad negara, Zaihan Mohd Isa.

"Jadi, kami masih menunggu keputusan x-ray.

"Keadaannya nampak serius tetapi kami masih tidak tahu keputusan imbasannya.

"Selepas keputusan itu, kami akan dapat tahu apa yang sebenarnya berlaku kepadanya."

Mengenai kegagalan Faizul mempertahankan pingat emasnya, Zaihan menambah: "Dia telah berusaha sedaya-upaya tetapi dia tersalah teknik.

"Itu sahajalah, jadi kami sudah tidak boleh buat apa.

"Kami memohon doa daripada semua supaya dia sihat dan dijauhi daripada apa-apa yang tidak diingini," tambahnya.