Chef-de-Mission (CDM) negara, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, mengakui hakikat sebenar sikap terlalu yakin dalam kalangan atlet menjadi punca terhadap kegagalan kontinjen negara dalam Sukan SEA Filipina.

Pengurusan kontinjen Malaysia merumuskan beberapa faktor yang menyumbang kepada kegagalan mencapai sasaran dalam Sukan SEA kali ini.

Faktor pertama yang ditekankan dalam rangkuman prestasi kontinjen negara adalah sikap terlalu yakin kerana muncul juara keseluruhan edisi sebelum ini.

Lebih-lebih lagi, ia membabitkan sukan memanah, pelayaran dan boling tenpin setelah berjaya dalam temasya sebelum ini dan beberapa kejohanan besar.

Ia jelas mengundang kritikan warga sukan tanah air tetapi Megat Zulkarnain tampil mempertahankan alasan berkenaan.

"Mungkin terlalu yakin apabila persatuan masing-masing meletakkan sasaran yang terlalu tinggi. Ini adalah berdasarkan kejayaan mereka ketika menyertai acara sukan sendiri.

"Sebagai contoh, boling yang mengecapi kejayaan di Kuwait. Mereka yakin jika berjaya di Asia, ia mampu dilakar di Asia Tenggara," katanya.

Bagaimanapun, Megat Zulkarnain mengakui terkilan kerana sasaran 70 emas gagal dicapai ketika beliau menjadi ketua kontinjen negara untuk temasya kali ini.

"Saya mesti bertanggungjawab dan tidak lari daripada kewajipan itu. Saya telah memohon maaf atas kegagalan kontinjen tetapi jangan disalahkan mereka 100 peratus. Namun, kami gagal bukan bermaksud pengakhiran. Kami boleh bangkit semula."