Pengurus pasukan sepak takraw wanita negara, Wan Mohd Husni Abdullah, menarik nafas lega apabila tuan rumah Sukan SEA Filipina bersetuju untuk mengekalkan tarikh perlawanan bermula 8 Disember ini.

Sebelum ini, mesyuarat pengurus pasukan di Subic, Filipina semalam mengumumkan tarikh perlawanan telah dipercepatkan daripada 8 Disember kepada 2 Disember tanpa pengetahuan setiap kontinjen.

Namun, kebanyakan negara tidak bersetuju dengan keputusan itu apabila atlet dan jurulatih masing-masing hanya akan tiba pada 5 Disember.

"Kami baru sahaja selesai mesyuarat pengurus pasukan bagi menentukan keputusan akhir jadual perlawanan. Sebelum kami tiba, kami telah mengetahui saingan akan dimulakan pada 2 Disember, namun telah mencapai keputusan sebulat suara untuk memulakan saingan pada 8 Disember," katanya.

Sementara itu, skuad wanita negara berdepan tugas sukar apabila bakal menghadapi juara bertahan, Thailand, namun Husni kekal optimis Malaysia mampu memperbaiki pencapaian dua tahun lalu.

"Perlawanan pertama itu akan menguji kemampuan skuad negara. Saya mahu mereka berusaha terlebih dahulu dan melihat hala tuju saingan kali ini," katanya lagi.