Pemain sepak takraw negara, Hairul Hazizi Haidzir, menganggap rakan sepasukan, Said Ezwan Said De, mampu memikul tugas tekong utama bagi acara regu sepak takraw dalam Sukan SEA Filipina bulan depan.

Dalam edisi lalu di Kuala Lumpur, ia berjaya membuahkan hasil apabila acara regu lelaki menyumbang pingat emas dengan menewaskan Filipina 2-0.

Selain Hairul, lima tekong tersenarai, termasuk Zarif Marican Ibrahim, Syahmi Husin, Ahmad Aizat Nor Azmi dan Said Ezwan.

Kehilangan dua tekong negara, Syahir Rosdi dan Zulkifli Abdul Razak, nyata memberi kesan kepada pasukannya, namun bagi Hairul, Said Ezwan mempunyai kelebihan tersendiri.

"Untuk acara regu, pendapat saya adalah Said Ezwan sebab dia mempunyai servis yang sangat laju dan pertahanan yang bagus, ditambah variasi yang baik," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Abdul Talib Ahmad, memanfaatkan masa singkat yang ada dalam memilih dua tekong utama untuk acara regu berdasarkan prestasi semasa.

"Daripada segi mutu permainan, kami memang nampak Said Ezwan, Hairul Azizi dan Ahmad Aizat. Itu semua pemain berpengalaman dan masih merebut tempat. Kelima-lima pemain masih berpeluang untuk menunjukkan prestasi terbaik," katanya.