Perenang berusia 17 tahun, Khiew Hoe Yean, dipilih untuk menggantikan jaguh kuak lentang, Tern Jian Han, yang terpaksa menarik diri daripada Sukan SEA Filipina, 30 November ini, ekoran masalah kesihatan.

Dia bakal menggalas tugas penting dalam penampilan sulung temasya berkenaan kerana bukan saja akan menggantikan Jian Han dalam kuartet 4x100m rampaian, malah akan beraksi dalam enam acara lain.

Ia sebagai pendedahan memandangkan usianya yang masih lagi muda.

"Jian Han sentiasa mendahului saya dan merupakan perenang yang selalu saya ingin kalahkan.

"Saya tidak berasa senang hati apabila dia tidak dapat menyertai temasya ini, jadi saya perlu perbaiki catatan saya bagi menewaskannya.

"Saya sebenarnya tidak berhasrat mengambil tempat sesiapapun kerana mahu bertanding atas merit," katanya yang menyaksikan skuad renang menyasarkan tiga emas dalam temasya edisi ke-30 itu.

Sementara itu, jurulatih negara, Chris Martin, pula menganggap langkah itu bertepatan sambil melontarkan pandangan: "Hoe Yean merupakan perenang kuak lentang terbaik yang kami ada ketika ini.

"Walaupun dia belum setanding Jian Han, dia merupakan perenang masa depan."

Atlet terbaik dalam Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) 2019 itu mencipta nama apabila meraih tujuh pingat emas dalam kempen di Indonesia, Julai lalu.