Atlet karate negara, S. Prem Kumar, menjadi sandaran utama dalam Sukan SEA Filipina minggu depan selepas bekas jaguh negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan, mengambil keputusan untuk bersara.

Dalam edisi di Kuala Lumpur pada 2017, dia sekadar menyumbangkan dua pingat gangsa susulan kontroversi laluannya ke final ditarik balik kerana masalah teknikal.

Ia menyaksikan dia sekadar meraih gangsa dalam acara kumite individu B-55 kilogram dan berpasukan.

Secara keseluruhan, skuad karate negara membutirkan tujuh pingat emas, dua perak dan empat gangsa dalam edisi itu.

"Perjalanan agak sukar kerana saingan dalam Sukan SEA (Kuala Lumpur) amat sukar.

"Persediaan juga amat sukar.

"Saya terpaksa berehat dua bulan kerana kecederaan dan selepas itu, saya kembali beraksi walaupun tidak mencapai standard yang sepatutnya.

"Selepas itu, saya tewas dalam Kejohanan Asia, jadi semangat untuk menang berada di bawah standard yang sepatutnya," katanya.

Dalam edisi di Filipina tahun ini, Malaysia akan menampilkan sembilan wakil dalam acara kumite yang terdiri daripada lima atlet lelaki dan empat wanita.

Selain Prem Kumar, skuad lelaki akan diperkuatkan dengan bakat muda seperti L. Kunasilan, Arif Afifuddin Ab. Malik, R. Sharmendran dan M. Arulveeran Somanroy.

Skuad wanita pula dibarisi Siti Nur Azwani Nor Azli, P. Madhuri, M. Mathivani dan Japyus Audrey.

"Persedian setakat ini amat baik.

"Saya mempunyai jurulatih baru, jadi saya menerima pelbagai pengalaman baru daripadanya.

"Saya tidak tahu mengapa mereka meletakkan harapan kepada saya.

"Bagi saya, tekanan itu ada tetapi apa yang penting, saya perlu memberikan prestasi yang baik.

"Prestasi yang baik akan menghadirkan keputusan yang sepatutnya," tambahnya.