Selepas memperoleh empat mata daripada dua perlawanan, ketua jurulatih skuad B-22 Myanmar, Velizar Popov, sudah mula berasa selesa dan memperkecil-kecilkan kemampuan Malaysia untuk menewaskan Filipina dalam perlawanan Kumpulan A, Sukan SEA Filipina di Stadium Memorial Rizal, Manila malam esok.

Selepas menewaskan pasukan tuan rumah itu 2-1 semalam, jurulatih itu berasakan Malaysia perlu berusaha lebih keras untuk menyaingi kelebihan fizikal skuad kendalian Goran Milojevic berkenaan.

"Filipina juga pasukan yang menarik.

"Mereka bermain dengan amat baik dan tersusun.

"Mereka mempunyai pemain yang hebat, pemain di tahap berbeza dan saya menggemari pemain seperti itu.

"Mereka boleh menewaskan mana-mana pasukan.

"Jika anda (Malaysia) tidak menumpukan perhatian dan memberikan mereka ruang untuk melakukan serangan balas dan gerakan set piece, mereka amat berbahaya.

"Kerana mereka memiliki (pemain dengan) fizikal yang amat kuat dan tinggi," katanya.

Ketua jurulatih skuad negara, Datuk Ong Kim Swee, menyelar kenyataan Popov itu yang dikatakan hanya mahu meraih publisiti selain enggan permainan psikologi itu mengganggu tumpuan anak buahnya.

"Saya fikir ia satu (mainan) psikologi daripada Popov kerana kita tahu dia memang suka bercakap.

"Dia sukakan publisiti, jadi biarlah.

"Kita tidak harus memikirkan tentangnya kerana mereka sudah mendapatkan empat mata dan berada di posisi yang cukup selesa.

"Yang penting, kami perlu melalui setiap perlawanan dengan cara permainan tersendiri tanpa memikirkan apa yang dikatakan sesiapa," katanya.