Pendedahan pemain polo negara dalam pelbagai kejohanan anjuran Persatuan Polo Diraja Malaysia (RMPA) menjadi faktor kejayaan Malaysia memenangi pingat emas acara polo buat kali ketiga berturut-turut dalam Sukan SEA Ke-30 di Filipina, hari ini.

Kemenangan dramatik dengan keputusan 7 berbalas 5.5 ke atas Filipina di Padang Polo Miguel L. Romero di Batangas bukan sahaja menyaksikan Malaysia kekal menguasai sukan berkenaan di peringkat ASEAN, malah menebus kekalahan 5 berbalas 8.5 kepada pasukan tuan rumah itu dalam aksi kedua pusingan awal, Selasa lalu.

Pengurus pasukan, Datuk Mohamad Zekri Ibrahim, yang dihubungi berkata pasukan negara terpaksa bergelut untuk menyesuaikan diri dengan kuda-kuda yang dipinjam memandangkan tuan rumah tidak membenarkan kuda luar dibawa masuk ke negara berkenaan.

"Kami tidak dapat menjalankan persediaan yang komprehensif dengan cuaca di Malaysia yang sedang mengalami musim hujan yang agak lama dan tidak menentu.

"Perlawanan yang mendebarkan dan pasukan negara dilihat sebagai bukan pilihan berdasarkan kekuatan kuda. Namun, sebaik pengadil memulakan perlawanan, pasukan negara mengatur perancangan awal dengan menyekat pergerakan pemain utama Filipina yang juga pemain yang mempunyai handikap tertinggi kejohanan," jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohamad Zekri memuji barisan pemain negara yang diketuai Tengku Ahmad Shazril Ezzani Tengku Sulaiman yang menjadi tunjang kekuatan pasukan negara dalam edisi kali ini selain beberapa pemain lain seperti Amran Selamat dan pemain muda, Mohamad Shariezal Baseri, yang mengawal kubu negara daripada dibolosi pasukan tuan rumah.

"Kemenangan ini adalah kerana sikap yang tidak mahu mengaku kalah walaupun di atas kertas, Malaysia sukar untuk mempertahankan pingat emas kerana tiada “horse power”," kata Mohamad Zekri.

Untuk rekod, Malaysia pernah menjuarai acara polo pada 2007 di Korat, Thailand dan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

-- BERNAMA