Ketua jurulatih skuad polo air negara, Voon Yong Hui, menegaskan bahawa Malaysia perlu memenangi dua baki perlawanan untuk mencerahkan peluang bagi menepati sasaran pingat gangsa dalam Sukan SEA Filipina.

Jurulatih itu menjelaskan skuad negara, yang tewas dalam dua aksi sebelum ini, perlu bangkit untuk memburu mata ketika menentang Indonesia serta Filipina esok dan Ahad ini.

Yong Hui menganggap lapan muka baru yang membuat penampilan pertama dalam temasya dwitahunan itu belum mampu mengawal perasaan gemuruh, sekali gus menjadi punca prestasi hambar skuad negara.

"Sekiranya kami memenangi dua perlawanan terakhir, kami berpeluang untuk memenangi pingat gangsa.

"Persembahan dalam perlawanan pertama bukanlah terlalu buruk, cuma lapan muka baru yang beraksi dalam Sukan SEA kali ini agak gemuruh," katanya.

Sementara itu, Yong Hui mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum bertemu pemenang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Indonesia.

"Secara dasarnya, kami telah merangka persiapan bagaimana untuk mengekang pihak lawan, saya harap pemain saya dapat menyerlah."

Untuk rekod, skuad negara menamatkan penantian selama 12 tahun apabila meraih gangsa dalam temasya dua tahun lalu.