Pengorbanan skuad floorball wanita negara mengeluarkan wang sendiri untuk bertanding dalam Sukan SEA Filipina terbayar dengan kejayaan dramatik meraih pingat gangsa.

Setiap seorang daripada 20 pemain negara itu berusaha mencari dana sendiri untuk beraksi di Filipina memandangkan sukan itu diletakkan dalam kategori B.

Dengan kejayaan itu, mereka akan menerima pulangan 50 peratus perbelanjaan itu daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Saya kasihankan pemain.

"Pingat gangsa ini amat bermakna kerana mereka telah mengeluarkan banyak perbelanjaan untuk temasya ini.

"Jadi, dengan pingat gangsa ini, 50 peratus perbelanjaan itu akan ditanggung MOM.

"Pada saya, ia satu perkara yang amat besar buat mereka.

"Mereka bukanlah orang senang dan ada yang masih belajar.

"Memang sukar untuk kami kumpulkan dana itu," kata ketua jurulatih skuad negara, Rizal Razman.