Sandaran pingat emas skuad pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Afendy, melahirkan rasa teruja untuk menjayakan misinya walaupun bakal berdepan saingan sengit dalam Sukan SEA 2019 di Filipina.

Pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 dalam acara laser standard itu akan berdepan pelayar Singapura, Ryan Lo Jun Han, dalam misi meraih pingat emas acara berkenaan.

Atlet berusia 28 tahun itu mengakui kejayaan ke atas seteru utamanya itu akan melengkapkan misi balas dendam selepas dikecewakan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Ryan merangkul pingat emas dalam temasya KL2017 sementara Khairulnizam yang bertarung dengan kecederaan ketika itu terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.

“Sukan SEA kali ini akan jadi satu misi balas dendam saya untuk tebus kekalahan dalam KL2017. Ia akan jadi satu medan perebutan pingat emas yang menarik dan saya jangkakan saingan pasti sengit,” katanya ketika ditemui dalam majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad pelayaran hari ini.

Majlis yang berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) itu turut menyaksikan pemberian insentif awal berjumlah RM14,000 kepada atlet dan barisan kejurulatihan skuad pelayaran oleh Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA).

Sementara itu, Khairulnizam berkata skuad pelayaran akan memanfaatkan segala input yang diraih sepanjang tiga minggu ‘berkampung’ di Subic, Filipina bulan lalu dalam menghadapi cabaran yang mendatang.

“Persiapan tempoh hari memberikan banyak input mengenai venue dan keadaan laut di sana. Kebanyakan atlet sudah mendapatkan gambaran sebenar di sana, jadi ia satu kelebihan buat kami. Cuma saya harap apa yang kami lihat selama membuat persiapan di sana akan sama sewaktu saingan nanti,” katanya.

Dalam temasya KL2017, Malaysia muncul juara keseluruhan sukan pelayaran dengan enam emas, empat perak dan empat gangsa sementara Thailand dan Singapura yang masing-masing mengumpul empat emas di kedudukan kedua dan ketiga.

Sementara itu, MSA hari ini turut mengumumkan insentif kemenangan RM5,000 kepada atlet yang berjaya merangkul emas, RM3,000 (perak) dan RM1,500 untuk pingat gangsa.

-- BERNAMA