Dalam sukan bertemasya seperti Sukan SEA, pasti ada kes-kes seperti pengguguran atlet yang tidak adil -- situasi itu sedang dilalui Zulfiqar Ismail yang sepatutnya menjadi wakil negara dalam acara 100m.

Atas arahan doktor sebelum ini, dia mendapatkan rehat selama dua bulan gara-gara kecederaan paha sebagai persediaannya untuk ke Sukan SEA Filipina bermula Sabtu ini.

Bagaimanapun, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) pula mempunyai pendekatan berbeza apabila mempertaruhkan barisan pelari yang dipilih menerusi Kejohanan Olahraga SSBJ dua minggu lalu.

Zulfiqar tidak menyertai kejohanan berkenaan, justeru kesatuan itu bertindak menggantikan tempatnya dengan Haiqal Hanafi, yang menjuarai Kejohanan Olahraga SSBJ dengan catatan 10.44s.

Sehubungan itu, pelari berumur 20 tahun berkenaan bakal bergandingan dengan Jonathan Nyepa bagi misi mempertahankan pingat emas acara reben biru itu milik Khairul Hafiz Jantan dua tahun lalu.

"Pada awal bulan ini, doktor mengesahkan kecederaan saya sudah pulih sepenuhnya.

"Tetapi saya tidak mengambil bahagian dalam Kejohanan Olahraga SSBJ, jadi (sebab itulah) tiada penilaian buat saya," katanya di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil sebentar tadi.

Sementara itu, skuad floorball wanita negara terpaksa akur dengan kekalahan kedua dalam kempen Sukan SEA Filipina apabila tunduk 2-8 kepada keampuhan Singapura hari ini.

Skuad lelaki pula gagal menyaingi Thailand apabila kalah 6-13.