Jurulatih skuad olahraga pecut negara, M. Balamurugan, bimbang prestasi kuartet 4x100 meter lelaki akan terjejas ekoran tiada kejohanan disertai menjelang Sukan SEA Filipina bulan depan.

Skuad pecut kebangsaan berdepan cabaran sukar dalam pemilihan atlet untuk dipertaruhkan bagi kategori 4x100m lelaki selepas tuan rumah, Filipina, menawarkan acara 4x100m campuran.

Balamurugan enggan mengambil risiko menyenaraikan seorang atlet untuk menyertai pelbagai acara bagi mengelakkan insiden Sukan SEA Kuala Lumpur, dua tahun lalu yang menyaksikan Khairul Hafiz Jantan ditimpa kecederaan.

"Kerisauan itu memang ada tetapi kami percaya. Pasukan hari ini, mereka pernah berlari bersama dan masing-masing mempunyai pengalaman, jadi tiada masalah. Pasukan sama juga beraksi ketika Sukan Asia," katanya.

Sementara itu, empat pelari kuartet lelaki negara akan dimuktamadkan selepas Kejohanan Innotex Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) bermula 16 November depan.

Bagaimanapun, Balamurugan tetap positif bahawa masalah itu tidak akan menjadi penghalang buat mereka memburu pingat emas di Filipina nanti.

"Saya rasa tiada masalah. Jika dilihat, atlet bertaraf dunia juga berlatih ketika turun beraksi. Skuad lelaki memang pernah beraksi bersama," tambahnya.