Jonathan Nyepa berdepan cabaran untuk membuktikan dia pelari pecut terpantas negara menjelang Sukan SEA Filipina apabila turun sebagai pilihan utama acara 100m dalam Kejohanan Innotex Sekolah Sukan Bukit Jalil minggu depan.

Jonathan bakal berdepan barisan pelari terbaik negara di Bukit Jalil.

Antara yang akan mencabar ialah Zulfiqar Ismail, Khairul Hafiz Jantan, Mohd Haiqal Hanafi dan Nixson Kennedy yang turut mengintai peluang merampas tiket acara 100m Sukan SEA Filipina.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memilih Jonathan dan Zulfiqar mengisi slot 100m di Filipina berdasarkan catatan terbaik mereka musim ini.

"Saya mahu menguji kemampuan sebenar saya dan berharap latihan yang dilakukan mampu membuahkan hasil. Jika ada kekurangan, kami boleh perbaikinya menjelang Sukan SEA hujung bulan ini," kata Jonathan.

Jonathan menghuni ranking kedua terbaik Asia Tenggara di belakang pelari Thailand berbekalkan catatan 10.28 saat.

Untuk rekod, Malaysia meraih emas 100m lelaki Sukan SEA 2017 menerusi Khairul Hafiz.