Olahraga: Irfan tiada tandingan di Asia Tenggara 

Oleh Staff Writer 10 Disember 2019 4303
Olahraga: Irfan tiada tandingan di Asia Tenggara 
Lapan pesaing negara lain gagal menggugat kehebatan lemparan cakera Irfan Shamsuddin apabila atlet Malaysia itu menepati ramalan untuk mengesahkan pingat emas dalam empat edisi Sukan SEA berturut-turut apabila menawan temasya di Filipina sebentar tadi. 

Irfan hanya sempat membuat lemparan pertama dalam aksi di Stadium Olahraga New Clark itu dengan merekodkan 57.29 meter dan ia ternyata gagal ditandingi selepas itu biarpun oleh pemenang perak, Morrison William II, yang melakar 51.38m, disusuli pemenang gangsa dari Thailand, Benjaroon Narong, yang mencatat 51.29m. 

Seorang lagi peserta negara, Abdul Rahman Lee, pula mengisi tempat keempat.

Kejayaan atlet berumur 24 tahun itu sekali gus melengkapkan sasaran lima emas yang ditetapkan ke atas skuad olahraga. 

"Alhamdulillah, ini kejayaan saya buat kali keempat. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada keluarga, kawan-kawan yang banyak membantu dan ketiga-tiga jurulatih, yang salah seorang daripadanya saya bayar pakai duit sendiri.

"Terima kasih khususnya kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dan Menteri Besar Johor dan (bekas Menteri Belia dan Sukan) Khairy Jamaluddin yang menolong saya untuk dapat menyertai kem (latihan). 

"Pada awalnya saya mahu menang dengan sasaran untuk mengatasi rekod Malaysia (62.55m) kerana dalam prestasi dan mempunyai perasaan yang baik mengenainya. 

"Namun, dua minggu sebelum temasya, ligamen jari kaki tengah saya terkoyak sepanjang 1 sentimeter. 

"Jadi, saya ingin berterima kasih kepada Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz kerana meyakinkan saya untuk mengambil suntikan (bagi menahan kesakitan). 

"Saya percaya dengannya," katanya. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen