Olahraga: Emas Rayzam Shah dirompak

Oleh Penulis Jemputan 10 Disember 2019 29915
Olahraga: Emas Rayzam Shah dirompak
Pengurus skuad olahraga negara, Sallehuddin Satar, mendakwa pingat emas pelari 110m berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian, dirompak kerana penganjur Sukan SEA Ke-30 enggan melayan bantahan Malaysia membabitkan keputusan 'photo finish'.

Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) sepatutnya bersikap adil menangguhkan upacara kalungan pingat 110m berpagar lelaki kerana Malaysia sedang membuat bantahan.

Sebaliknya, penganjur tetap meneruskan upacara itu yang menyaksikan pelari tuan rumah, Clinton Kingsley Bautista, diumumkan pemenang emas walaupun berkongsi catatan 13.97 saat dengan Rayzam Shah.

Justeru, Malaysia akan membawa kes tersebut kepada panel arbitrasi Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).

"Ia merupakan peluang untuk Rayzam meraih pingat emas. Kami akan membawa perkara ini kepada peringkat yang lebih tinggi dan rujukan bagi saingan di Asia Tenggara," kata Sallehuddin.

"Pada pandangan saya, pingat emas Rayzam telah dirompak kerana kami telah ikuti setiap prosedur dan mahu mendapatkan rujukan. namun ia tidak diendahkan pihak penganjur," kata ketua jurulatih negara, Mohd Manshahar Abd Jalil.

Pegawai olahraga negara mendakwa penganjur enggan memberikan bukti gambar berwarna daripada sebelah kiri dan kanan garisan penamat.

Malah, penganjur enggan melayan permintaan Malaysia untuk menonton rakaman video perlumbaan.

Mengikut peraturan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), penganjur perlu menyediakan kedua-dua bukti itu jika bantahan rasmi dibuat.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen