Ketua jurulatih skuad B-22 Myanmar, Velizar Popov, menyifatkan pasukannya mempunyai kualiti untuk mencabar pingat emas menjelang perlawanan pembukaan Kumpulan A dengan Malaysia dalam Sukan SEA Filipina petang esok.

Popov bukanlah individu asing buat peminat bola sepak tempatan kerana pernah membimbing Kelantan pada 2016.

Bagaimanapun, jurulatih berbangsa Bulgaria itu tidak menganggapnya sebagai kelebihan walaupun mengenali beberapa pemain Malaysia

"Bagi saya, Malaysia merupakan pilihan utama untuk menjuarai kejohanan ini.

"Mereka mempunyai skuad yang mantap dan beraksi dengan amat baik dengan jurulatih yang hebat.

"Ia merupakan perlawanan yang sukar buat kami tetapi kami akan mencuba yang terbaik untuk mempamerkan permainan kami," katanya.

Dalam masa sama, dia tidak mahu anak buahnya memberikan sebarang alasan biarpun mengakui kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan padang tiruan di Stadium Memorial Rizal, Manila.

"Padang itu akan digunakan setiap pasukan, jadi ia bukanlah sesuatu untuk digusarkan.

"Adakalanya, padang tiruan lebih baik untuk permainan yang teknikal.

"Ia cara permainan kami, jadi saya boleh katakan yang kami tidak akan berdepan masalah dengannya," tambahnya.