Myanmar berhak dapat tiga mata -- Popov

Oleh Staff Writer 26 November 2019 24818
Myanmar berhak dapat tiga mata -- Popov
Ketua jurulatih Myanmar, Velizar Popov, berasakan pasukannya berhak mengutip tiga mata ketika seri 1-1 dengan Malaysia dalam perlawanan Kumpulan A, Sukan SEA Filipina di Stadium Memorial Rizal, Manila semalam.

Jurulatih itu jelas kecewa dengan mutu pengadilan pengadil Taiwan, Chen Hsin Chuan, yang dikatakan kerap melakukan keputusan tidak tepat.

Tambahnya, jika bukan kerana faktor itu, Myanmar pasti akan menewaskan Malaysia dan memimpin carta kumpulan itu.

"Mungkin saya terlalu dramatik tetapi apabila pengadil menghentikan perlawanan sewaktu pemain berada di depan gol, sesiapa sahaja akan menjadi seperti itu.

"Tetapi saya tidak mahu bercakap mengenai perkara itu sekarang kerana mereka mungkin akan menghukum saya.

"Saya boleh bayangkan apa yang akan terjadi dalam perlawanan kedua nanti walaupun saya tidak mahu membayangkannya.

"Jadi, tolong jangan tanya saya mengenainya," katanya.

Bagaimanapun, dia tetap menghargai satu mata yang diperoleh dalam perlawanan itu kerana anak buahnya telah membuktikan Myanmar mampu menjadi pesaing utama dalam edisi kali ini.

"Kami akan mencuba untuk mengekalkan corak permainan tetapi dengan cara yang lebih baik ketika menguasai bola.

"Hari ini (semalam), kami tidak begitu bagus sewaktu menguasai bola.

"Sudah pasti saya perlu memuji Malaysia kerana mereka amat kuat secara fizikal.

"Mereka memberikan tekanan dengan amat baik dan tersusun.

"Taktikal mereka amat menarik.

"Kami akan mencuba untuk mempamerkan permainan yang lebih baik," tambahnya.

Myanmar akan bertemu tuan rumah, Filipina, dalam perlawanan kedua esok.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen