MOM tunggu pengesahan penganjur Sukan SEA 2019

Oleh Penulis Jemputan 19 Disember 2018 96
MOM tunggu pengesahan penganjur Sukan SEA 2019
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) masih menunggu pengesahan rasmi daripada penganjur Sukan SEA 2019 Filipina berhubung acara membabitkan sepak takraw sebelum membuat sebarang tindakan susulan.

Peluang Malaysia untuk mempertahankan emas yang dimenangi dalam acara chinlone tidak kesampaian selepas ia tidak disenaraikan oleh penganjur untuk edisi 2019.

Menerusi senarai yang dikeluarkan hari ini, hanya lima acara bakal dipertandingkan membabitkan gelung yang baru diperkenalkan di samping regu lelaki dan wanita serta berpasangan lelaki.

Pada edisi Kuala Lumpur 2017, sebanyak sembilan pingat emas dipertandingkan bagi kategori lelaki dan tiga emas bagi kategori wanita.

Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dijangka membuat rayuan terhadap keputusan itu sambil menunggu maklum balas daripada negara serantau yang lain.

Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria, bagaimanapun ingin menunggu pengumuman rasmi terlebih dahulu sebelum membantu PSM dalam proses untuk membuat rayuan.

"Banyak persatuan akan mengalami perkara yang sama. Kami akan melihat perkara ini secara menyeluruh sebelum berbincang dengan persatuan-persatuan sukan dan PSM," kata Norza.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen