Menembak: Johnathan kecewa raih pencapaian terburuk

Oleh Penulis Jemputan 7 Disember 2019 415
Menembak: Johnathan kecewa raih pencapaian terburuk
Hanya air mata mengiringi kedukaan penembak negara, Johnathan Wong, apabila buat kali pertama dia pulang daripada saingan Sukan SEA tanpa sebarang pingat.

Johnathan tidak dapat menahan sebak apabila dia yang beraksi konsisten masih gagal menempatkan diri di kedudukan podium bagi acara 10 meter air pistol lelaki individu dalam saingan hari ini.

Penembak yang berasal dari Melaka itu sekadar membuat 194.0 mata untuk berpuas hati dengan kedudukan keempat daripada lapan peserta yang beraksi di peringkat akhir.

Menurutnya, dia kecewa bukan hanya disebabkan gagal mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dua tahun lalu, malah gagal mencapai sasaran ditetapkan Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) memandangkan dia hanya menyertai satu acara kali ini.

"Memikirkan tempoh latihan yang dilalui serta masa kami berada di sini, jurulatih telah banyak memberi tunjuk ajar tetapi dengan prestasi itu, ia mengecewakannya. Kepada semua staf, saya memohon maaf," katanya.

Sebelum itu, dia mengakhiri pusingan kelayakan di sebelah pagi di tangga keempat dengan 572 mata manakala rakan sepasukannya, Siau Zianyi, terkandas ekoran sekadar di tangga ke-10 berbekalkan 565 mata.

"Apa yang membuatkan saya sangat sedih kerana dalam edisi sebelum ini, saya meraih emas. Begitu juga pada 2015, saya membawa pulang perak dan gangsa. Ini satu-satunya Sukan SEA yang saya lalui tanpa sebarang pingat. Tekanan banyak terarah kepada saya," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen