Pemanah recurve negara, Mohd Zarif Syahir Zolkepeli, mahu menjadikan Kejohanan Memanah Asia di Bangkok, Thailand, bermula 21 November ini sebagai platform terbaik untuk membentuk 'ramuan' ke Sukan SEA Filipina.

Skuad memanah lelaki negara perlu bekerja keras di Bangkok dalam mencari momentum dan persiapan akhir sebelum ke Filipina sementara pasukan wanita pula perlu memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Di Filipina kelak, Zarif bertekad membuktikan kecemerlangan dalam acara individu untuk memastikan namanya tersenarai bagi acara berpasukan.

Sebelum ini, skuad memanah negara berjaya meraih lima pingat emas, tiga perak dan dua gangsa.

"Sasaran adalah cuba menempatkan tempat dalam acara berpasukan dan kalau berpeluang untuk dikekalkan. Saya pasti akan buat yang terbaik," katanya.

Temasya Kuala Lumpur 2017 merupakan penampilan pertama Zarif dalam saingan dwitahunan itu dan cabarannya untuk saingan di Manila adalah mencari jalan untuk segera menyesuaikan diri sebelum saingan bermula.

"Di luar negara, kami tidak tahu cabaran yang akan dihadapi, jadi kami perlu cuba menyesuaikan diri dengan situasi di sana," katanya.