Malaysia mengemukakan bantahan rasmi kepada Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) susulan pingat emas yang dimenangi gimnas kebangsaan, Izzah Amzan, dalam apparatus reben Sabtu lalu didapati telah ditarik balik.

Semakan di dalam laman sesawang rasmi Sukan SEA Filipina, gms.2019seagames.com, hari ini mendapati Izzah yang sepatutnya mempunyai dua pingat emas hanya tinggal satu. Izzah sebelum ini memperoleh dua emas masing-masing menerusi acara bola dan reben.

Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, menegaskan perkara berkenaan tidak sepatutnya berlaku memandangkan majlis penyampaian pingat telah diadakan selepas berakhirnya acara berkenaan.

"Ini bukan mudah kerana ia melibatkan imej negara yang mengambil bahagian dan mereka (PHISGOC) terima bantahan ini, dan saya maklumkan kepada mereka untuk memasukkan semula pingat emas berkenaan (dalam carta kutipan pingat) selewat-lewatnya hari ini," katanya dalam sidang media khas di New Clark City hari ini.

Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain menegaskan Malaysia akan memanjangkan perkara berkenaan kepada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) sekiranya isu berkenaan gagal diselesaikan oleh PHISGOC.

"Menerusi pertemuan (dengan wakil PHISGOC) pagi tadi, saya telah membentangkan beberapa klausa dalam buku teknikal dan saya fikir mereka faham dan setuju, cuma apa yang kami kesalkan adalah (keputusan) delegasi teknikal (pertandingan gimnastik berirama)," katanya.

Megat Zulkarnain mendakwa perkongsian pingat emas pernah berlaku dalam sukan gimnastik berirama dalam edisi 2015 di Singapura yang menyaksikan Koi Sie Yan dan Shasangari Sivaneswari Nagarajan dinobatkan selaku pemenang bersama dalam acara individu all-around.

Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Rachel Lau, sebelum ini dilaporkan telah menghantar bantahan rasmi kepada Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) susulan beberapa keputusan kontroversi yang membabitkan gimnas negara.

Sie Yan dan Izzah mencatat kutipan 15.200 mata dalam apparatus reben Sabtu lalu tetapi juri mengisytiharkan Sie Yan sebagai pemenang pingat emas manakala Izzah di tempat kedua berdasarkan perbezaan tahap kesukaran melakukan rutin.

Pihak teknikal pertandingan, bagaimanapun, mengisytiharkan kedua-dua gimnas negara itu sebagai pemenang bersama selepas kem negara membuat bantahan terhadap keputusan awal oleh pihak juri.

-- BERNAMA