Raja luncur ais negara, Julian Yee, mengubah pendekatan lama dengan pemilihan lagu rancak dan bertenaga untuk meraih pingat emas acara free skating senior Sukan SEA Filipina di S. Megamall semalam.

Ketika peserta lain mengekalkan tradisi dengan pilihan lagu dan pemakaian yang klasik, jaguh negara itu tampil dengan imej lebih bersahaja.

Pemilihan pemakaian kasual dan tiga lagu dengan rentak berbeza bukan hanya memikat hati juri, malah penonton yang hadir turut memberikan sorakan.

"Saya fikir sebelum ini kami banyak menggunakan lagu klasik yang amat perlahan.

"Jadi, saya mahu melakukan kelainan untuk menjadikannya (persembahan) lebih istimewa," katanya.

Julian mempertahankan pingat emas yang diraihnya dalam edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Atlet tuan rumah, Christopher Caluza, muncul pemenang pingat perak manakala wakil Thailand, Micah Kai Lynette, gangsa.

"Dalam setiap kejohanan yang saya sertai, tekanannya sama.

"Tidak kisah dalam Sukan Olimpik atau dalam Kejohanan Kebangsaan, fokusnya tetap sama," tambahnya.