Kelebihan saiz galah seteru menjadi cabaran hebat buat atlet lompat bergalah negara, Chuah Yu Tian, dalam Sukan SEA Filipina bermula 30 November ini.

Atlet berusia 26 tahun itu mengambil langkah dengan mengkaji kemahiran setiap pencabarnya ekoran kekurangan pendedahan antarabangsa buat mereka.

Yu Tian hanya berkesempatan menyertai Kejohanan Terbuka Olahraga Thailand, Mei lalu, dan perkara itu menimbulkan kebimbangan kerana merencatkan persiapannya untuk menghadapi temasya edisi ke-30 itu.

Apatah lagi, pemenang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur dua tahun lalu itu perlu menghadapi wakil tuan rumah, Natalie Uy, yang meraih pingat gangsa dalam Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF), April lalu.

"Proses menukar galah memerlukan masa yang agak panjang.

"Kalau saingan berbaki kurang sebulan, ia bukanlah mustahil tetapi lebih sukar. Namun, saya tetap akan membawa saiz galah yang berbeza ke sana dan (penggunaannya) bergantung kepada situasi," katanya. dalam sesi latihan di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, hari ini.

Meskipun menghdapi cabaran tersendiri, Yu Tian menganggap mustahil buatnya untuk memecahkan rekod kebangsaan 4.40 meter milik Roslinda Samsu apabila menyasarkan lompatan 4m bagi mengatasi rekod peribadinya, 3.90m.

"Kalau diikutkan logik, (peluang) untuk memecahkan rekod kebangsaan itu agak jauh tetapi secara peribadinya, saya mahu melakukan lompatan setinggi 4m."