Skuad lawan pedang negara berpuas hati dapat memperbaiki pencapaian dalam edisi lalu apabila meraih dua pingat perak dan satu gangsa dalam Sukan SEA Filipina.

Saingan skuad lawan pedang kebangsaan dalam temasya edisi kali ini tamat apabila acara berpasukan sabre wanita tewas di tangan Singapura 45-18 dalam aksi suku akhir.

Saat-saat akhir seakan-akan menerima sinar harapan untuk menambah bilangan pingat menerusi acara berpasukan epee lelaki, namun tidak kesampaian apabila tewas tipis kepada Thailand 45-43.

Atlet negara, Joshua Koh I Jie, jelas hampa dengan kekalahan tipis itu walaupun telah merangkul perak ketika acara epee individu lelaki.

"Kami patut raih keputusan lebih baik tetapi kurang dalam sesetengah elemen. Saya rasa itu punca tewas," katanya.

Dia tidak menafikan masih banyak ruang yang harus diperbaiki jika ingin mencapai misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 walaupun memperbaiki pencapaian saingan di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

"Tidak tahu, saya fikir masih banyak perkara perlu diperbaiki. Namun, dalam skuad lawan pedang, terdapat peningkatan," tambah Joshua.

"Saya berharap agar kejayaan ini diteruskan menerusi latihan kerana peluang untuk ke Olimpik memang ada.

"Selepas 15 April depan, pra-kelayakan Olimpik akan dipertandingkan di Seoul, Korea Selatan dan saya akan cuba untuk membantunya," ujar Presiden Persekutuan Lawan Pedang Malaysia (MFF), Rusni Abu Hassan.