Selepas Yu Peng Kean dan Joshua Koh I-Jie, Hans Yoong dicanang sebagai wajah masa depan sukan lawan pedang Malaysia dan impak dia mula dirasai dalam Sukan SEA Filipina 2019 menerusi pingat perak foil.

Peng Kean adalah bekas tonggak sabre yang mencipta nama apabila layak beraksi dalam Sukan Olimpik London 2012 secara merit.

Pakar epee, Joshua, pula meneruskan kesinambungan Peng Kean sebagai senior dalam skuad kebangsaan.

Tetapi kehadiran Hans di Filipina dengan membutirkan pingat perak dalam foil individu membangkitkan keterujaan buat lawan pedang negara.

Kelahan 14-15 di tangan wakil Thailand, Mayakarn Chornnasun, dalam final menawarkan perspektif betapa atlet berusia 19 tahun itu hampir menggenggam emas.

"Ia merupakan perlawanan yang sengit dalam aksi final, rakan sepasukan telah memberikan sokongan dan saya gembira di atas keputusan ini," kata Hans.

"Sebelum ini, saya mengharungi persembahan mengecewakan tetapi saya yakin mampu menampilkan saingan yang cemerlang dan pingat perak ini sangat bermakna bagi saya."

Bagaimanapun, selepas kekecewaan di Kuala Lumpur 2017 susulan gagal menyumbangkan pingat buat kontinjen negara, Hans berada di landasan untuk satu hari memimpin skuad negara seperti Joshua dan ke Sukan Olimpik seperti Peng Kean.