Kecewa gagal mempertahankan juara Ninja Warrior, kedudukan podium kekal sebagai sasaran Mat Redha Rozlan atau lebih dikenali sebagai Mat Redho selepas kali terakhir beraksi dalam Sukan SEA lapan tahun lalu.

Ini bukan penyertaan kali pertama buat Mat Redho dalam saingan temasya dwitahunan itu, bermula dengan sukan memanjat di Palembang pada 2011 dan kini kudratnya kembali ditagih untuk menghadirkan emas buat negara.

Selepas bergelar juara Ninja Warrior di Australia tahun lalu, Mat Redho mengakui tumpuan terarah kepadanya untuk menghasilkan kutipan emas bagi sukan larian berhalangan ini.

Jurang perbezaan di antara Ninja Warrior dan larian berhalangan cukup besar kerana ia melibatkan kepantasan bagi setiap tugasan yang diberi menerusi 10 disiplin yang perlu disudahkan.

"Segalanya melibatkan kepantasan. Memang tidak nampak dengan jelas, semuanya perlu gelojoh dan gelabah," katanya.

"Satu kesilapan kecil akan menggugat catatan masa dan ia akan memberikan kesan dalam buruan pingat di Manila nanti."

Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Salfarina Md Drus, turut membawa semangat lapan tahun lalu untuk diterjemahkan dengan cemerlang kali ini.

Jika lapan tahun lalu Salfarina kecewa kerana masalah teknikal yang membatalkan penyertaannya, kali ini dia yakin kehampaan di Palembang mampu ditebus dan bertekad membawa pulang pingat buat negara.