Peluang kontinjen negara untuk meraih pingat emas terbanyak di luar Kuala Lumpur dalam Sukan SEA 2019 di Filipina dari 30 November hingga 11 Disember ini dilihat cerah.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata daripada 386 acara disertai kontinjen negara dalam temasya sukan itu kali ini, 76 daripadanya adalah acara yang menyumbang pingat emas dalam edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

"Daripada segi pencapaian, 76 pingat emas dimenangi pada 2017. Acara yang dimenangi itu akan dipertandingkan dalam Sukan SEA kali ini. Jadi, kita boleh lihat kalau atlet kita boleh cuba kekalkan kemenangan semasa Sukan SEA lalu," katanya selepas Bengkel Penetapan Sasaran Sukan SEA hari ini.

Bengkel dua hari itu yang bermula semalam, menghimpunkan 114 pengurus dan jurulatih bagi membincangkan mengenai sasaran kontinjen negara dalam temasya kali ini.

Sementara itu, Shapawi berkata kontinjen negara akan berkampung di Bangi dari 19 hingga 21 November ini dan majlis penyerahan Jalur Gemilang akan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pada hari terakhir perhimpunan atlet itu.

"MSN dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan membentangkan hasil rumusan yang sudah dimuktamadkan dalam bengkel kepada menteri, yang diselaraskan secara bersama. Pada 21 November ini, menteri akan umumkan sasaran pingat," katanya.

Sementara itu, Chef-de-Mission negara ke Filipina, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, berkata beliau amat berpuas hati dengan kerjasama yang ditunjukkan semua pengurus dan jurulatih yang hadir dalam bengkel dua hari berkenaan.

Katanya, banyak perkara telah dibincangkan selain mendengar pembentangan daripada kesemua sukan yang akan membawa cabaran negara dalam Sukan SEA Filipina.

"Bila tengok jumlah ini, ada tanda-tanda untuk kita atasi rekod di luar Kuala Lumpur, iaitu di Korat dengan 68 pingat emas. Kontinjen kita pula keseluruhannya seramai 1,123 orang terdiri daripada atlet dan pegawai," katanya.

Beliau berkata kumpulan pertama kontinjen negara akan berlepas ke Filipina, 17 November ini.

Untuk rekod, Malaysia meraih 68 pingat emas di Korat, Thailand pada 2007, iaitu pencapaian pingat emas tertinggi di luar Kuala Lumpur.

-- BERNAMA