Kim Swee tidak takut rekod buruk di Manila

Oleh Staff Writer 24 November 2019 1618
Kim Swee tidak takut rekod buruk di Manila
Ketua jurulatih skuad bola sepak B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, tidak gentar dengan sejarah lalu walaupun rekod Malaysia sepanjang edisi Sukan SEA di Filipina tidak begitu baik.

Sepanjang tiga edisi yang dianjurkan Filipina sebelum ini, Malaysia tidak pernah bergelar juara dengan memenangi pingat perak pada 1981, tersingkir di peringkat kumpulan pada 1991 sebelum meraih gangsa dalam edisi 2005.

Bagaimanapun, Kim Swee, yang pernah membawa skuad negara meraih pingat emas dalam edisi di Jakarta/Palembang pada 2011, tidak takut dengan rekod itu dan yakin skuad bimbingannya mampu ke final.

"Jika anda melihat kepada sejarah, anda mungkin betul.

"Tetapi jika anda melihat kembali sejarah itu, ia merupakan kali pertama (sepanjang penganjuran di Manila) terdapat dua pemain lebih umur dalam setiap pasukan.

"Sejarah itu boleh diubah dan kami perlu memandang ke depan untuk meraih apa yang kami mahukan," katanya.

Skuad negara melakukan latihan rasmi di Stadium Memorial Rizal, Manila hari ini menjelang perlawanan pembukaan Kumpulan A dengan Myanmar petang esok.

Kebanyakan pemain tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan padang tiruan di stadium itu.

"Walaupun kami mendengar banyak berita mengenai persediaan (penganjuran), saya percaya Filipina akan menganjurkannya dengan baik.

"Saya harap segala-galanya akan bertambah baik," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen