Karate: Persiapan singkat bukan penghalang Sharmendran

Oleh Penulis Jemputan 9 Disember 2019 189
Karate: Persiapan singkat bukan penghalang Sharmendran
Atlet karate-do negara, R. Sharmendran, membuktikan erti kecekalan seorang ahli sukan, dengan menghadirkan pingat emas buat Malaysia biarpun sebelum ini terpaksa diketepikan daripada kem kebangsaan selama lapan bulan gara-gara kecederaan.

Ia kemenangan yang cukup bermakna buat Sharmendran biarpun dia memegang status sebagai juara bertahan.

Lapan bulan bergelut dengan kecederaan lutut kanan dan memerlukan dua bulan untuk pulih sepenuhnya, atlet itu memastikan penampilannya dalam Sukan SEA kali ini tidak berakhir dengan tragedi pulang awal, sebaliknya melangkaui ramalan semua pihak dengan mempertahankan emas kategori bawah 75 kilogram kumite.

Emas dalam edisi ke-30 itu juga bermakna ia satu-satunya kejuaraan yang diraih Sharmendran tahun ini yang menyaksikan dia hanya kembali berlatih penghujung Oktober lalu.

"Saya telah berehat selama lapan bulan sebelum berlatih selama dua bulan dan menyertai satu kejohanan di Latvia. Ramai yang tidak tahu tetapi saya berusaha memastikan persembahan terbaik tanpa mengira menang ataupun kalah," katanya.

Shamendran sebelum itu beraksi cukup konsisten, bermula dalam suku akhir dengan menumbangkan wakil Vietnam, Chuc Duc Ting, 2-0.

Seterusnya, dia menjadikan wakil Indonesia, Firmansah Sandi, sebagai mangsa amukan apabila melakar kemenangan mutlak 8-0 untuk ke final dan saingan akhir pula terus memihak kepada wakil negara itu apabila menang mudah ke atas wakil Thailand, Songvut Muntaen, dengan keputusan 3-0.

"Tidak pernah tewas dalam saingan di peringkat Asia Tenggara adalah bekalan keyakinan saya dan lawan juga mengetahuinya. Tetapi saya perlu membuat persiapan yang rapi, berlatih bersendirian dan mempamerkan aksi cemerlang."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen