Pelari pecut negara, Jonathan Nyepa, menggalas tugas penting untuk mempertahankan gelaran lelaki terpantas Asia Tenggara milik Khairul Hafiz Jantan apabila diletakkan sebagai sandaran utama Malaysia dalam acara 100 meter Sukan SEA Filipina bermula Sabtu ini.

Khairul Hafiz meraih pingat emas acara 100 meter dalam edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Selepas dua tahun, giliran Jonathan meneruskan cabaran itu tanpa Khairul Hafiz, yang tidak terpilih dalam acara berkenaan.

Dia merupakan pilihan kedua berdasarkan ranking Asia Tenggara, namun realitinya, kelibat jaguh Indonesia, lalu Mohamad Zohri, merupakan yang paling digeruni dalam acara itu

"(Status) pelari terbaik Malaysia bukan sesuatu yang kekal.

"Di Malaysia, sama ada atlet dalam atau luar program (kebangsaan), semuanya sedang bersedia untuk menjadi pelari terpantas di Malaysia.

"Bagi saya, status itu bukanlah sesuatu untuk berasa selesa.

"Masih banyak perkara yang perlu diusahakan dan dipertingkatkan," katanya.

Skuad olahraga negara menetapkan sasaran lapan pingat emas, sasaran sama dalam edisi di Kuala Lumpur.

Cabaran pasti sukar untuk memecahkan dominasi Vietnam dan Thailand selain pasukan tuan rumah yang menggunakan ramai atlet naturalisasi.

"Tugas dalam acara 100 meter Sukan SEA bukan sesuatu yang mudah kerana semua negara sedang berusaha untuk mengungguli acara itu.

"Kami hanya berusaha dan atlet terbaik akan mendapat (pingat emas) acara itu," tambahnya.