Atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong, menyasarkan untuk memecahkan rekod peribadinya dalam Sukan SEA Filipina bermula minggu depan biarpun pingat emas hampir pasti berada dalam genggamannya.

Berdasarkan rekod di atas kertas, juara bertahan itu tidak akan berdepan sebarang masalah untuk mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dalam edisi di laman sendiri dua tahun lalu.

Prestasi semasa pula memperlihatkan dia mencatatkan balingan sejauh 68.22 meter ketika menjuarai Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, Mac lalu, yang jauh mengatasi catatan yang dilakukannya ketika menjuarai edisi di Kuala Lumpur.

Atlet kelahiran Sarawak itu turut berkelana selama dua bulan ke Makpo, Korea Selatan, bagi menjalani latihan intensif sejak September lalu.

"Tujuan kami menjalani latihan di Korea adalah untuk berlatih dengan atlet mereka yang melepasi jarak 73 meter.

"Selain menjalani latihan, saya turut menyertai kejohanan di sana dan dapat bersaing dengan atlet mereka," katanya.

Jackie tidak menafikan terdapat turun-naik dalam prestasinya.

Dia berharap dapat beraksi dengan lebih tekal menerusi teknik terbaru yang dipelajarinya di Korea Selatan.

Sebagai rekod, Jackie memecahkan rekod perbadinya sebanyak 17 kali sejak 2012 selain turut memegang rekod Sukan SEA dan kebangsaan

"Keadaan saya semakin bagus walaupun terdapat penurunan selepas Terbuka Malaysia.

"Ia semakin meningkat dan saya akan mendapat prestasi terbaik dalam Sukan SEA nanti," tambahnya.