Keadaan lapangan yang tidak baik dalam Kejohanan Olahraga Jemputan Perak di Ipoh dua minggu lalu menjadi punca jaguh lempar cakera negara, Irfan Shamsuddin, gagal memberikan aksi terbaik menjelang Sukan SEA Filipina hujung bulan depan.

Irfan, bagaimanapun, menamatkan saingan itu di tempat pertama dengan balingan sejauh 54.05 meter, namun menyifatkan persembahannya itu tidak memuaskan.

Keadaan lapangan yang berlubang dan berpasir menjadi punca dia gagal mencapai sasaran untuk mencatatkan balingan sejauh 60 meter.

Namun, dia mahu memperbaiki catatan itu menjelang temasya berkenaan

"Secara kesuluruhannya, saya hanya datang ke sana untuk mendapatkan suasana kejohanan.

"Saya pergi ke sana kerana saya memerlukan kejohanan.

"Ia bukanlah kejohanan yang baik tetapi dalam kejohanan yang akan datang, Insya-Allah, saya boleh buat yang lebih baik daripada itu," katanya.

Dalam pada itu, jurulatih skuad olahraga kebangsaan, Mohamad Ali Hamid, berpuas hati dengan tahap ketekalan tiga atlet lempar cakera negara lain yang turut akan mewakili negara ke Filipina.

"Bagi saya, prestasi tiga atlet, iaitu Choo Kang Ni, Abdul Rahman Lee dan Queenie (Ting) amat tekal dan hampir dengan catatan peribadi terbaik mereka.

"Irfan berada sedikit di bawah prestasi sebenar kerana dalam kejohanan itu, dia berdepan beberapa isu dengan lapangan yang sedikit licin.

"Jadi, Irfan tidak dapat memberikan 100 peratus," katanya.