INDONESIA 2 THAILAND 0

Indonesia mengejutkan juara bertahan, Thailand, dalam perlawanan pertama Kumpulan B di Stadium Memorial Rizal, Manila sebentar tadi.


Gol daripada bintang sensasi, Egy Maulana Vikry, dalam babak pertama dan Osvaldo Haay pada penghujung perlawanan membolehkan skuad Garuda Muda itu membuka kempen dengan kemenangan 2-0.

Walaupun Thailand turun dengan reputasi sebagai juara bertahan selepas menewaskan Malaysia dalam final edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu, mereka dikejutkan dengan jaringan awal Indonesia apabila Egy memanfaatkan situasi kelam-kabut di depan gol lawan pada minit keempat.

Gol itu menyemarakkan semangat Indonesia, yang hampir pasti menambah jaringan sekiranya percubaan Evan Dimas pada minit ke-16 tidak melambung tinggi.

Dalam babak kedua, Thailand jelas terdesak untuk memburu jaringan tetapi barisan penyerang mereka jelas menghampakan.

Ketika skuad Gajah Perang itu galak mengasak kubu lawan, cabaran mereka ditamatkan apabila Saddil Ramdani melintangkan hantaran untuk ditolak masuk Osvaldo pada minit ke-86.