Selepas meraih lapan pingat dalam Kejohanan Dunia bulan lalu, skuad wushu negara dicanang sebagai antara lubuk pingat emas buat Malaysia dalam Sukan SEA Filipina minggu depan.

Bagaimanapun, Malaysia kehilangan khidmat dua juara dunia, Tan Cheong Min dan Chuah Shyang Yang, memandangkan acara yang disertai mereka tidak dipertandingkan dalam temasya itu.

Dalam edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu, skuad negara meraih enam pingat emas, lima perak dan tiga gangsa.

Rentak cemerlang itu berterusan dalam Kejohanan Dunia di Shanghai apabila skuad kendalian Lim Yew Fai itu membutirkan dua pingat emas, lima perak dan satu gangsa.

Namun, Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) mengambil risiko untuk tidak dapat menyenaraikan tonggak utama, termasuk dua juara dunia berkenaan, selepas beberapa acara digugurkan di Filipina.

"Sebenarnya, saya agak berpuas hati dengan prestasi mereka kerana ia agak baik.

"Terdapat banyak kesilapan dalam Kejohanan Dunia lalu kerana daripada lapan atlet yang dihantar, empat daripada mereka merupakan muka baru.

"Mereka atlet yang bagus tetapi memerlukan lebih pengalaman dalam kejohanan besar," kata Yew Fai.

Skuad negara akan membawa sembilan atlet ke Filipina dengan Sydney Chin muncul satu-satunya atlet wanita dalam acara taolu.

"Saya akan mencuba untuk melakukan yang terbaik.

"Saya mahu beraksi baik dalam kedua-dua acara saya.

"Saya mahu juri dan jurulatih berpuas hati dengan prestasi saya," kata Sydney.