Gimnastik Artistik: Gimnas negara perlu tampil aksi luar biasa

Oleh Staff Writer 15 Oktober 2019 116
Gimnastik Artistik: Gimnas negara perlu tampil aksi luar biasa
Skuad gimnastik lelaki negara ke Sukan SEA Filipina perlu tampil dengan aksi luar biasa andai berhasrat merampas pingat emas daripada kontinjen tuan rumah diketuai Carlos Yulo.

Yulo mencetus sensasi dalam Kejohanan Dunia 2019 apabila menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik bagi acara all around.

Malah, Yulo, yang hanya berusia 19 tahun, turut berjaya merampas emas acara senaman lantai sementara wakil tunggal negara ketika kempen di Stuttgart, Jerman yang berakhir semalam, Jeremiah Loo, tidak melepasi kelayakan.

Ini petanda menggusarkan bagi Jeremiah yang dicanang sebagai prospek emas Malaysia di Manila nanti.

"81.3 mata adalah catatan terbaik Jeremiah dan jika dia mahu berada dalam kelompok 24 terbaik dunia, dia perlu melakukan sekurang-kurangnya 84 mata ke atas," kata ketua jurulatih skuad negara, Ng Shu Liang.

Baginya , Jeremiah berupaya mencabar Yulo dalam beberapa acara lain seperti kekuda berpelana.

Tetapi tonggak skuad kebangsaan itu perlu melengkapkan setiap rutin dengan pendekatan sifar kesilapan.

"Jeremiah harus berusaha untuk meningkatkan kualiti rutinnya serta mengelak daripada melakukan kesilapan jika mahu menghidupkan peluang meraih emas di Manila nanti," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen