Menjelang 41 hari lagi pembukaan rasmi Sukan SEA Filipinina, ia meningkatkan debaran buat skuad floorball negara untuk memberi sumbangan besar kepada kontinjen Malaysia.

Skuad floorball, sama ada lelaki mahupun wanita, diletakkan sandaran untuk membawa pulang pingat gangsa dan cabaran daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu lantas disambut dengan penuh semangat.

Bahkan, tidak keterlaluan jika mereka meletakkan sasaran yang lebih tinggi, iaitu emas.

Persiapan sejak awal tahun lalu memacu semangat mereka, khususnya bahagian wanita, apabila hanya selangkah lagi untuk layak ke Piala Dunia dalam kempen kelayakan di Stadium Tertutup Hua Mark, Bangkok, Januari lalu.

Nur Anis Amyzaa Zakari, yang sudah dua tahun menyertai skuad kebangsaan, menganggap sekiranya mereka dapat melakar kejutan ke atas Singapura dan Thailand, emas hampir pasti dalam genggaman.

"Kami kini giat menjalani latihan pusat di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN), Kampung Baru, selain berlatih bersama pasukan negeri," katanya dalam temu bual Nadi@1 hari ini.

Sementara itu, pemain lelaki negara, Lim Kim Sheng, pula menganggap tiada halangan untuk mereka mengekalkan gangsa yang dimenangi dua tahun lalu tetapi menyasarkan pencapaian lebih tinggi, iaitu perak.

"Walaupun beraksi sebagai penyerang sebelum ini, saya kini beralih posisi bagi memantapkan pertahanan negara.

"Kami akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Singapura minggu depan bagi menguji sejauh mana perkembangan prestasi," katanya yang sudah hampir lima tahun mewakili negara.