Skuad floorball lelaki menuruti jejak pasukan wanita negara apabila mudah mengatasi Indonesia 8-2 malam tadi bagi menghidupkan peluang dalam Sukan SEA Filipina.

Skuad lelaki negara berazam untuk meneruskan momentum kemenangan yang dilakar skuad wanita itu apabila terlebih dahulu membenam Indonesia 8-2.

Kesungguhan itu diterjemahkan dengan dua gol dalam suku pertama, masing-masing menerusi Han Keong Chong dan Kai Sheng Lim untuk meletakkan Malaysia di depan.

Malaysia yang dibimbing bekas pemain negara, Khor Kuan Yong, terus mendominasi permainan apabila meledak dua lagi jaringan, masing-masing hasil sentuhan Fabian Chow dan Tristan James untuk kedudukan 4-0.

Permainan kemas terus ditampilkan dalam suku ketiga dengan Indonesia semakin longlai.

Kali ini giliran Chin Hong Teh, Mohd Amirul Akmar Amir dan Zephaniah Chong untuk melakar nama sebagai penjaring untuk menguasai permainan 7-0.

Indonesia memperoleh dua gol pada lewat babak ketiga, iaitu menerusi Vigya Satria Pramanthana dan Janter Kalvin Tampubolon, namun Ter Min Chiam melengkapkan hari gemilang kem floorball negara apabila meledak satu lagi gol untuk kemenangan muktamad 8-2.

Mereka bakal berdepan dengan Filipina esok bagi mengukuhkan kedudukan di peringkat kumpulan dalam usaha untuk memburu slot penentuan pingat gangsa.

"Kami adalah pasukan yang lebih baik daripada segi teknikal dan taktikal.

"Kami mempamerkan lebih penguasaan dalam perlawanan ini berbanding dua aksi terdahulu.

"Kami lebih kerap melancarkan serangan sehingga memaksa Indonesia untuk bermain secara serangan balas.

"Dalam dua perlawanan yang lalu pula, kami yang terpaksa mengintai serangan balas," kata Kuan Yong.