FILIPINA 1 MALAYSIA 0

Malaysia masih buntu mencari kemenangan pertama dalam acara bola sepak lelaki Sukan SEA apabila tewas 0-1 kepada Filipina di Stadium Memorial Rizal sebentar tadi.


Keputusan dalam aksi Kumpulan A itu menyaksikan sejarah Sukan SEA 1991 berulang apabila Malaysia dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada pasukan tuan rumah itu di venue sama.

Berbekalkan kelebihan fizikal dan beraksi di laman sendiri, skuad The Junior Azkals itu bermula garang dengan melakukan beberapa serangan pantas yang mencemaskan barisan pertahanan negara sebelum pemain Malaysia mula menemui rentak.

Skuad B-22 negara kemudian mendapat peluang, namun sepakan percuma kapten pasukan, Adam Nor Azlin, dari luar kotak penalti ditangkap kemas oleh penjaga gol Filipina, Anthony Pinthus, pada minit ke-23.

Pasukan tuan rumah itu kemudian menghukum Malaysia apabila penjaga gawang negara, Muhammad Haziq Nadzli, gagal menampan keluar sepakan penjuru 'inswinger' Stephan Schrock pada minit ke-72.

Malaysia terikat 1-1 dengan Myanmar dalam perlawanan pertama Isnin lalu manakala Filipina turut terikat 1-1 dengan Kemboja sebelum tewas 1-2 kepada Myanmar kelmarin.

Ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, berkata pemainnya perlu mempertingkatkan prestasi bagi menghadapi dua lagi baki perlawanan kerana yakin skuad bimbingannya itu masih mempunyai peluang untuk ke peringkat seterusnya.

"Pemain perlu memperbaikinya sekarang dan menunjukkan permainan sebenar untuk memenangi dua perlawanan seterusnya.

"Secara kiraannya, kami masih berpeluang untuk ke separuh akhir," katanya.

Sementara itu, pasukan wanita negara dibelasah 0-5 oleh Filipina dalam aksi sulung Kumpulan A di Stadium Binan.

Skuad kendalian Jacob Joseph itu akan bertemu Myanmar, Isnin ini untuk melengkapkan jadual peringkat kumpulan.

-- BERNAMA